
KERAJAAN menafikan bersikap ‘flip-flop’ berhubung kenaikan tarif elektrik, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri menegaskan, kerajaan konsisten dengan pelaksanaan kenaikan tarif elektrik hanya membabitkan industri, bukan 85 peratus pengguna biasa.
Laporan media semalam berkaitan isu itu, Anwar berkata jawapannya dalam satu majlis hanya merujuk kepada persoalan dibangkitkan industri.
Beliau yang juga menteri kewangan menegaskan tidak timbul kerajaan bersikap ‘flip flop’ dalam penetapan tarif elektrik, ketika pelabur memerlukan keyakinan dalam perang dagang dunia.
“Saya tegaskan semula kenaikan kadar elektrik hanya untuk industri akan berlaku mengikut kaedah ICPT mulai Julai.
“85% rakyat tidak akan terkesan dengan kenaikan ini. Kenaikan pun bukan 14% (untuk industri),” katanya menjawab soalan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) di Dewan Rakyat, hari ini.
Sebelum itu, Wan Fayhsal meminta penjelasan Perdana Menteri mengapa kerajaan bersikap ‘flip-flop’ dalam penetapan tarif elektrik dengan mengubah pendiriannya beberapa kali.
Semalam, media melaporkan Anwar berkata tarif elektrik perlu dinaikkan pada separuh kedua tahun ini.
Beliau menjawab soalan Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) Ng Yih Pyng yang membangkitkan kebimbangan kenaikan tarif yang didakwa boleh meningkatkan kos perniagaan dan inflasi lebih tinggi.
Bagaimanapun, Anwar menegaskan bahawa kenaikan itu tidak setinggi 14.2% yang dicadangkan dan tidak akan menyusahkan atau merugikan komuniti perniagaan.