Tarif elektrik baharu tak jejas pengguna domestik – Fahmi

PENGGUNA domestik diberikan jaminan bahawa mereka tidak akan terkesan dengan pelaksanaan struktur tarif elektrik baharu yang bermula hari ini, termasuk dari segi peningkatan bil bulanan.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan merangkap Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pelaksanaan tarif asas baharu itu akan menyaksikan penurunan purata kos elektrik sehingga 19 peratus berbanding tempoh sebelumnya.

Beliau menjelaskan bahawa pengguna dengan penggunaan kurang daripada 1,000 kilowatt jam (kWj) sebulan dijangka terus menikmati kadar bil sedia ada, dan ada kemungkinan akan mengalami pengurangan.

“Semua akaun TNB yang menggunakan kurang daripada 1,000 kilowatt jam dijangka bukan sahaja bilnya kekal, malah berkemungkinan akan turun. Ini berdasarkan maklumat yang telah diterbitkan oleh TNB.

“Kita jangkakan bagi kebanyakan isi rumah, kita akan saksikan sama ada tarifnya, bilnya sama ataupun berkurangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pemberita selepas mengadakan lawatan ke Menara (MOCN) 4G 6 Hala YES Tanjung Asam, Gertak Sanggul di Pulau Pinang, hari ini.

Fahmi turut menjelaskan bahawa antara reformasi yang dilaksanakan oleh Kementerian Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) ialah pengenalan waktu puncak penggunaan elektrik yang ditetapkan antara pukul 2 petang hingga 10 malam.

Beliau menasihati pengguna agar menggunakan peralatan elektrik berkuasa tinggi di luar waktu puncak sebagai langkah untuk mengoptimumkan penjimatan tenaga dan mengurangkan kos bil.

Sementara itu, Suruhanjaya Tenaga memaklumkan bahawa struktur tarif baharu yang telah diluluskan kerajaan ini akan memastikan kadar elektrik yang lebih adil, progresif dan mampu milik, memberi manfaat kepada lebih 23.6 juta pengguna domestik di Semenanjung Malaysia.

Penetapan tarif berkenaan akan berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025 hingga 31 Disember 2027 mengikut Kerangka Kerja Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR), selaras dengan Seksyen 26 Akta Bekalan Elektrik 1990.

Perubahan di bawah tempoh regulatori keempat (RP4) itu melibatkan penstrukturan semula tiga komponen utama, iaitu kadar purata tarif asas, jadual tarif baharu, dan mekanisme pelarasan kos bahan api.

Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi turut menegaskan bahawa kerajaan akan bertindak tegas terhadap sebarang aduan berkaitan pencatutan atau manipulasi harga yang mungkin berlaku susulan pelaksanaan tarif baharu ini.

Beliau berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melancarkan Ops Kesan 4.0 secara serentak hari ini bagi membanteras sebarang aktiviti yang boleh menekan pengguna.

Related Posts

Warga Pulau Banggi sambut baik peruntukan lebih RM31 juta diumum PM

KUDAT – Warga Pulau Banggi menyambut baik pengumuman peruntukan lebih RM31 juta oleh Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena lawatan kerja beliau ke pulau berkenaan. Christine Norshidah Jamlin,…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Pelan kesinambungan bekalan minyak negara diumum pertengahan bulan ini

KUALA LUMPUR – Kerajaan dijangka mengumumkan pelan kesinambungan bekalan minyak negara pada pertengahan bulan ini susulan ketidaktentuan bekalan global akibat konflik berlarutan di Asia Barat dan penutupan Selat Hormuz. Menteri…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

City terpaksa berhempas pulas sebelum menumbangkan Brentford 3-0

City terpaksa berhempas pulas sebelum menumbangkan Brentford 3-0

Chelsea, Liverpool kongsi satu mata lepas seri 1-1

Chelsea, Liverpool kongsi satu mata lepas seri 1-1

Agihan STR 2026 di Long Lama ringankan beban penduduk luar bandar

Agihan STR 2026 di Long Lama ringankan beban penduduk luar bandar

KCF 2026 perkukuh perpaduan, berpotensi jadi tarikan pelancongan

KCF 2026 perkukuh perpaduan, berpotensi jadi tarikan pelancongan

Limbang tuan rumah pertama kejohanan olahraga pendidikan khas peringkat bahagian

Limbang tuan rumah pertama kejohanan olahraga pendidikan khas peringkat bahagian

Warga Pulau Banggi sambut baik peruntukan lebih RM31 juta diumum PM

  • By Ynom
  • May 10, 2026
Warga Pulau Banggi sambut baik peruntukan lebih RM31 juta diumum PM