TAIPING – Seorang lelaki yang juga pegawai kesihatan, meninggal dunia selepas mengalami sesak nafas ketika menyertai aktiviti pendakian di Bukit Larut, di sini, pada Rabu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu sekitar jam 10.40 pagi.
Ujarnya, seramai 21 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kamunting dan Taiping digerakkan ke lokasi kejadian.
“Mangsa dilaporkan telah mengalami sesak nafas di kawasan berhampiran ‘check point’ empat, kira-kira 3 kilometer (km) dari kaki Bukit Larut.
“Berdasarkan maklumat itu, pasukan bomba telah pergi ke check point tiga dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda.
“Seterusnya berjalan kaki ke lokasi mangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tambah Sabarodzi, mangsa, Ahmad Saharim Saudi, 50, merupakan salah seorang daripada 123 peserta program pendakian yang disertai kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Kangsar dan PKD Larut, Matang dan Selama.
“Mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum di bawa turun ke kaki bukit.
“Kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” tambahnya.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Shahrul Nizam Murad itu tamat sepenuhnya pada jam 1.31 tengah hari.






