KUANTAN – Kerajaan Pahang sangat berbesar hati dengan pengiktirafan diterima daripada Ketua Audit Negara (KAN).
Pengiktirafan melalui Sijil KAN bagi Pendapat Tanpa Teguran adalah bukti jelas terhadap kecekapan, ketelusan, dan integriti dalam pengurusan kewangan negeri Pahang.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sijil berkenaan juga mencerminkan komitmen penuh seluruh warga kerja kerajaan negeri dalam memastikan setiap prosedur kewangan dilaksanakan dengan cermat dan berhemah.
“Alhamdulillah, syabas dan tahniah kepada Kerajaan Negeri Pahang atas penerimaan Sijil Ketua Audit Negara bagi Pendapat Tanpa Teguran (Unmodified Opinion) terhadap Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Pahang bagi tahun berakhir 31 Disember 2023 yang diumumkan hari ini.
“Penerimaan sijil ini adalah satu pencapaian yang amat bermakna dan bukti nyata terhadap kecekapan, ketelusan, dan integriti dalam pengurusan kewangan Negeri Pahang,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Wan Rosdy turut memberi komitmen bahawa kerajaan Pahang akan sentiasa memperkukuhkan tadbir urus yang baik dan memastikan setiap sen wang negeri diuruskan dengan baik.
“Semoga Kerajaan Negeri Pahang terus mengorak langkah dengan lebih mantap demi memacu pembangunan negeri yang makmur untuk kesejahteraan rakyat. Insya-Allah,” katanya.






