PRESIDEN Syria Ahmed Al-Sharaa menzahirkan ucapan terima kasih kepada Malaysia terutamanya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas sokongan dalam pembinaan semula negara tersebut.
Menerusi laporan antarabangsa, Sana, Al-Sharaa berkata Malaysia juga komited dan menekankan kepentingan dalam mengukuhkan kerjasama dua hala khususnya bidang ekonomi.
Komitmen Malaysia ini juga merupakan sebahagian daripada visi Syria dalam merapatkan jurang antara negara Asia yang lain selaras dengan usaha membina masa depan yang baik untuk negara itu.
Pada Isnin, Anwar mengucapkan tahniah kepada Presiden Syria, Ahmed al-Sharaa atas pembentukan kerajaan baharu negara itu.
Perdana Menteri berkata, Malaysia komited untuk meningkatkan hubungan dua hala khususnya dalam bidang ekonomi.
Anwar berkata, Malaysia juga bersedia menggalakkan syarikat tempatan untuk melabur serta menyumbang kepada usaha pembinaan semula Syria.
Terdahulu, Al-Sharaa diisytiharkan sebagai Presiden Syria dalam fasa peralihan, susulan kejatuhan rejim Bashar al-Assad yang memerintah negara itu selama 45 tahun.








