
KLUANG – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem yakin dan percaya bahawa calon Barisan Nasional Pilihanraya Kecil(PRK) DUN Mahkota, Syed Hussien Syed Abdullah akan berkhidmat dengan cemerlang sekiranya beliau dipilih oleh pengundi pada 28 September ini.
Helmy yang juga dikenali sebagai YB Viral ketika ditemui di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Suria semalam berkata, dengan pengalaman luas yang ada pada Hussien, calon BN itu mampu berkhidmat dengan baik.
“Kalau ikutkan sebelum ini, beliau merupakan Ahli Majlis Perbandaran Kluang, sudah pasti apabila beliau dipilih sebagai calon, prestasi beliau selaku Ahli Majlis sudah pasti diambil kira untuk beliau menjadi wakil rakyat dari Parti UMNO,’ katanya.
Ujarnya lagi, Hussien yang mempunyai salah satu visi untuk membantu peniaga pasar malam sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat adalah bersifat realistik.
“Beliau bercakap berdasarkan pengalaman dan apa yang dia lalui dalam proses membesar, sudah pasti beliau tahu golongan sasar mana yang wajar diberikan fokus,” katanya kepada The Malaysia Press.
Tambahnya, tidak boleh dinafikan bahawa golongan penjaja kecil ini sudah tentu harus dibantu dalam transformasikan perniagaan mereka ke arah lebih baik lagi.