
SANDAKAN – Seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam beberapa kes pecah dobi di sekitar daerah ini ditahan polis dalam satu operasi di Bandar Leila, awal pagi Selasa.
Ketua Polis Daerah Sandakan ACP George Abd Rakman berkata, suspek berusia 31 tahun diberkas kira-kira pukul 1 pagi hasil maklumat awam yang diterima pihak polis.
Menurutnya, pemeriksaan ke atas suspek membawa kepada penemuan senjata tajam, beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah, wang tunai serta dadah jenis syabu.

“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.
“Suspek kini direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan, pada Selasa.
George berkata, penahanan itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan pihak polis dalam membanteras jenayah harta benda di daerah Sandakan.





