
SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Penaung Selangor FC murka dengan insiden membakar suar di Jambatan Angkat Kuala Terengganu.
Baginda menzahirkan rasa kecewa terhadap kegiatan tidak bermoral seperti budaya samseng dan gengsterisme yang kian menular di kalangan penyokong bola sepak tempatan.
“Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sebagai Penaung Selangor FC menzahirkan rasa amat dukacita dan kecewa dengan insiden berkenaan.
“Baginda tidak berkenan dengan kegiatan tidak bermoral seperti budaya samseng dan gengsterisme yang kian menular di kalangan penyokong bola sepak tempatan, khususnya yang memakai jersi pasukan Selangor FC.
“Baginda mahu agar pihak polis mencari dalang di sebalik insiden itu dan sekıranya didapati bersalah, mereka yang terbabit haruslah dihukum dengan hukuman yang maksimum dan setimpal mengikut undang-undang.
“la sebagai pengajaran kepada para penyokong Selangor FC yang lain supaya insiden seumpamanya tidak berulang,” titah baginda dalam kenyataan hari ini.
Semalam, seramai 33 penyokong bola sepak Selangor direman di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, Terengganu susulan kejadian mengganggu ketenteraman awam dan menimbulkan kegusaran di sepanjang laluan di Jambatan Angkat Kuala Terengganu.
Terdahulu tular beberapa video penyokong Selangor FC berarak dari arah Bandaraya Kuala Terengganu menuju ke Seberang Takir sambil membawa bendera pasukan dan menyalakan suar ketika di berada di jambatan itu.
Perbuatan itu mencetuskan kemarahan warga maya yang menyifatkannya sebagai tindakan tidak bertanggungjawab.
Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin menyeru semua penyokong pasukan Selangor FC sentiasa mengawal tingkah laku masing-masing serta menjaga nama baik pasukan dan negeri.
“Baginda turut mencadangkan agar penyokong-penyokong Selangor FC yang disabitkan kesalahan menimbulkan kekacauan, agar diharamkan daripada masuk ke stadium untuk menghadiri mana-mana perlawanan membabitkan pasukan itu,” titah baginda.




