
PADAWAN – Seorang suri rumah berusia dalam lingkungan lewat 30-an menjadi mangsa penipuan pelaburan dalam talian.
Menurut kenyataan rasmi Pesuruhjaya Polis Sarawak CP Datuk Mancha Ata, kes ini dilaporkan kepada pihak polis pada 17 September lalu.
“Mangsa dimasukkan ke dalam kumpulan Telegram yang dikenali sebagai DIRA Trader oleh individu tidak dikenali.
Tambah beliau, admin kumpulan tersebut dikenali sebagai @DIRATRADER_OFFICIAL menunjukkan pulangan yang agak lumayan.
“Mangsa juga terpengaruh dengan maklum balas positif daripada pelabur yang lain.
Ujar beliau, mangsa sanggup mengeluarkan wang simpanan daripada Amanah Saham Bumiputera (ASB) sebagai modal pelaburan.
“Dari penghujung Ogos hingga awal September 2024, mangsa telah melakukan 13 transaksi pemindahan wang dan 8 transaksi deposit tunai ke 13 akaun bank berbeza, dengan jumlah keseluruhan RM159,000.
“Mangsa tersedar dirinya ditipu apabila tidak mendapat pulangan seperti diharapkan.
Bagaimanapun, jelas beliau, suspek juga meminta wang untuk memproses keuntungan walaupun mangsa menolak permintaan tersebut.
Pihak polis menasihatkan orang ramai agar hanya melabur di platform yang sah dan berdaftar dengan Bank Negara Malaysia serta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
Elakkan daripada memuat turun aplikasi yang tidak diketahui kesahihannya atau memasukkan wang ke dalam akaun bank yang tidak berkaitan dengan pelaburan rasmi.
Sekiranya menjadi mangsa penipuan siber seperti scam pelaburan, orang ramai boleh menghubungi National Scam Response Center (NSRC) di talian 997.
PDRM turut menggalakkan penggunaan aplikasi Whoscall untuk membantu mengenalpasti nombor telefon scam.
Aplikasi ini membolehkan pengguna mengetahui jika nombor yang diterima disenaraikan sebagai scammer dalam pangkalan data sistem Semak Mule PDRM.