
MIRI – Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man menyerahkan sumbangan beberapa unit bagasi dan tiga alat pemeriksaan tekanan darah kepada Hospital Umum Miri (HUM) sebagai sokongan terhadap kelangsungan program derma darah yang dijalankan pihak hospital.
Sumbangan tersebut susulan lawatan beliau ke hospital berkenaan baru-baru ini, di mana pihak pengurusan memaklumkan mengenai keperluan logistik bagi aktiviti kesihatan yang melibatkan peralatan mudah alih.
“Inisiatif ini mungkin kecil, tetapi sangat penting untuk membantu melancarkan operasi harian hospital dan meringankan beban petugas kesihatan yang sentiasa komited memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya.
Menurut beliau, penyerahan itu mencerminkan keprihatinan terhadap keperluan institusi kesihatan di Miri dan usaha berterusan untuk memperkukuh fasiliti sedia ada demi manfaat masyarakat setempat.
“Saya amat sedar akan peranan penting hospital dalam menjaga kebajikan dan kesihatan awam. Diharapkan sumbangan ini dapat memudahkan pelaksanaan program derma darah serta meningkatkan kecekapan perkhidmatan kesihatan asas,” ujarnya lagi.
Pada masa yang sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua petugas kesihatan di HUM atas dedikasi serta pengorbanan mereka, dan berharap kerjasama seumpama ini dapat diteruskan demi membina sistem kesihatan yang lebih mantap dan berdaya tahan.



