
SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, hanya menzahirkan pandangan berhubung sejarah, masa hadapan dan hala tuju Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Istana Alam Shah dalam kenyataan hari ini menjelaskan, pandangan itu dibuat secara umum dan tidak menyentuh secara langsung isu pembangunan semula tanah di Kampung Sungai Baru yang ketika ini sedang tular.
“Baginda hanya menzahirkan pandangan mengenai sejarah, masa hadapan dan hala tuju yang merangkumi keseluruhan kawasan Kampung Baru, Kuala Lumpur.
“Baginda tidak menyentuh secara langsung mengenai isu pembangunan semula tanah di Kampung Sungai Baru yang sedang tular,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu sekali gus menepis segelintir pihak yang mengaitkan titah berkenaan dengan isu semasa melibatkan pembangunan Kampung Sungai Baru.
Sultan Sharafuddin sebelum ini menekankan kepentingan memelihara warisan sejarah Kampung Baru sebagai kawasan penempatan Melayu tradisional yang sarat dengan nilai budaya, selain memastikan ia mempunyai hala tuju jelas untuk pembangunan pada masa depan.







