
RAKYAT Terengganu berhak tahu kebenaran. Baru-baru ini, Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) menguar-uarkan dua projek solar bernilai RM1.2 bilion di Kemaman seolah-olah ia hasil usaha Kerajaan Negeri.
Namun, fakta sebenar jelas: projek mega ini adalah projek Kerajaan Persekutuan di bawah program LSS5+, bukannya projek yang dikendalikan atau dibiayai Kerajaan Negeri.
Program Persekutuan, dikawal Suruhanjaya Tenaga
Projek solar ini datang daripada inisiatif Kerajaan Persekutuan melalui Suruhanjaya Tenaga (ST) di bawah Kementerian Tenaga.
Semua kontrak tenaga diperoleh melalui tender terbuka LSS5+, dan pembelian tenaga dibuat oleh TNB, sebuah syarikat milik Persekutuan. Ini bukti kukuh bahawa projek ini bukan milik Kerajaan Negeri.
Pemaju swasta, bukan milik negeri
Dua projek solar di Kemaman ini dilaksanakan oleh syarikat swasta — reNIKOLA Holdings, RE Chenderong dan Anglo-Eastern Plantations.
Pelaburan RM1.2 bilion datang daripada kantung swasta dan pelabur asing, bukannya daripada hasil Kerajaan Negeri. Kerajaan Negeri tidak menyalurkan sesen pun untuk projek ini.
Peranan negeri hanya lulus tanah
Apa sebenarnya peranan Kerajaan Negeri? Sekadar meluluskan tanah dan memberi sokongan lokasi.
Negeri hanya menikmati manfaat sampingan seperti cukai tanah, peluang pekerjaan dan aktiviti ekonomi setempat.
Namun UPDI cuba menggambarkan seolah-olah Kerajaan Negeri menjadi penggerak utama. Ini adalah satu penipuan naratif terhadap rakyat.
UPDI kabur dan mengelirukan
UPDI sekali lagi membuktikan kelemahan mereka sebagai jentera penerangan. Dengan sengaja menyediakan maklumat yang kabur, mereka mengelirukan rakyat Terengganu kononnya projek solar ini adalah hasil ‘kejayaan’ Kerajaan Negeri.
Hakikatnya, UPDI gagal membezakan peranan negeri sebagai fasilitator kecil berbanding kuasa penuh Kerajaan Persekutuan dalam projek ini.
Kerajaan Negeri Terengganu menipu rakyat
Lebih parah, Kerajaan Negeri Terengganu sendiri tidak berterus terang. Mereka menggunakan platform rasmi negeri untuk memutar fakta, seolah-olah negeri ini sedang mencatat kejayaan besar. Sedangkan, peranan sebenar hanyalah sebagai penyedia tapak.
Ini bukan sahaja mengelirukan rakyat, tetapi juga merampas kredit daripada Kerajaan Persekutuan yang gigih memperjuangkan agenda tenaga boleh diperbaharui.
Kebenarannya jelas: projek solar RM1.2 bilion di Kemaman adalah projek Persekutuan, dikawal oleh Suruhanjaya Tenaga dan dibiayai oleh syarikat swasta.
Kerajaan Negeri Terengganu hanya menumpang nama, tetapi cuba menunggang kejayaan ini untuk kepentingan politik.
Rakyat perlu celik, jangan biarkan Kerajaan Negeri menipu dengan propaganda murahan.
“UPDI gok eh, profesional gok, agensi kerajaan negeri kan, ni main citer sekerat-kerat boleh ke walaun kabo hebat selalu kerajaan negeri bawoh Dr Seng, padahal projek Kerajaan Persekutuan.”




