PUTRAJAYA – Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah memuji perkhidmatan dan kepakaran ditawarkan kepada baginda sepanjang dirawat di Institut Jantung Negara (IJN), minggu lalu.
Perkara itu dikongsikan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri Enam: Prasarana Malaysia Bhd di Petaling Jaya, malam tadi.
Perdana Menteri berkata, Sultan Hassanal Bolkiah juga berpuas hati dengan pengalaman diterima baginda sepanjang dirawat di fasiliti kesihatan berkenaan.
“Tuanku pulang ke Brunei semalam, selepas dirawat.
“Baginda berkongsi kepada saya, sebagai individu memiliki pendedahan dan pengalaman dengan pusat perubatan terbaik di dunia, baginda sangat berpuas hati terhadap mutu khidmat kecemerlangan dan kepakaran doktor kita di IJN.
“Masyarakat pelbagai lapisan wajar mengakui Malaysia memiliki kekuatan tersendiri dalam beberapa bidang tertentu, biarpun negara sering menerima pelbagai kritikan pelbagai pihak.
“Sementara kita membolehkan kritikan, ia tiada masalah… tetapi sekurang-kurangnya kita akuilah juga kekuatan yang ada.
“Harus ada dorongan untuk membuat sesuatu yang lebih baik,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Sultan Hassanal dibenarkan keluar dari IJN kelmarin, selepas menerima rawatan sejak Selasa lalu.
Baginda tiba di Malaysia pada 25 Mei untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Baginda dilaporkan berehat di IJN sejak 27 Mei kerana keletihan.







