Suhu dingin di IDCC tidak sama dengan suhu di PPS

KEDINGINAN dalam dewan serba lengkap dengan penyaman udara di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), dekat Shah Alam, Selangor sudah tentu berbeza dengan kesejukan menyelimuti penduduk terjejas banjir ketika ini.

Biar pun jumlah penduduk ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) sudah melebihi 100,000 orang, namun ia tidak menjadi penghalang kepada ratusan perwakilan daripada Bersatu meneruskan perhimpunan mereka.

Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) itu lebih penting memandangkan parti berkenaan baharu selesai melaksanakan proses pemilihan.

Apa sangatlah dengan banjir di beberapa negeri jika dibandingkan dengan PAT itu.

Kerana perhimpunan yang menjadi medan untuk ‘membelasah’ Kerajaan Perpaduan wajib diteruskan bagi menunjukkan bahawa Bersatu masih relevan.

Betapa pentingnya PAT berkenaan dibandingkan program Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar yang dijadualkan hujung minggu ini, yang dibatalkan atas sebab bencana banjir.

Tidak ada perkara yang baharu dibincangkan dalam PAT yang bermula pagi tadi.

Selain memaklumkan bahawa jumlah keahlian parti Bersatu sudah meningkat kepada lebih 700,000 dan mengulang semula isu membabitkan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang.

Pengerusi pengasas Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, Kerajaan Madani sepatutnya menyalurkan peruntukan tanpa perlu melalui proses menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU).

Menurutnya, ketika beliau menjadi Perdana Menteri selama 17 bulan, MoU tidak diperlukan untuk menyalurkan dana kepada pembangkang.

“Draf-draf ini zaman saya tiada, lagipun hanya RM300,000, benda bagi sahajalah kalau kerajaan niat baik.

“Ini untuk bantu rakyat kenapa tidak boleh tolong, kata banyak duit berbilion takkan sikit pun tidak boleh bantu?” katanya.

Maka, lebih bagus perhimpunan itu diteruskan sahaja kerana hal berkaitan bantuan untuk penduduk terjejas banjir sudah dan sedang dilakukan Kerajaan Perpaduan.

Semalam pun, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sudah turun ke Kelantan; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pun turut sama bergegas ke Kota Bharu, Kelantan untuk melihat sendiri kesan bencana itu kepada institusi pendidikan di negeri Cik Siti Wan Kembang.

Bersatu cukup sekadar membantu dari kejauhan dan memberi sokongan moral kepada kerja keras pasukan Kabinet Perpaduan.

Lagi pula, mereka dakwa tidak ada peruntukan.

Itu belum ditambah dengan idea seorang pemimpin Bersatu yang mencadangkan musim tengkujuh dijadikan produk pelancongan.

Bukankah itu juga satu bentuk bantuan yang di luar kotak.

Cuma, agak pelik kerana sekitar minggu lalu, Ketua Pembangkang yang juga Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin memaklumkan bahawa pihak Perikatan Nasional (PN) sedia kembali ke meja rundingan untuk berbincang perkara berkaitan peruntukan.

Sebenarnya, Bersatu dan PN mahu berunding atau tidak?

Dalam PAT hari ini juga menyaksikan Setiausaha Agung Bersatu yang baharu dilantik, Datuk Seri Azmin Ali dalam ucapannya meramalkan bahawa pilihan raya umum ke-16 (PRU16) akan diadakan ‘bila-bila masa’.

Kenyataan Azmin ini agak lucu memandangkan beliau juga antara watak penting dalam drama ‘Langkah Sheraton’ pada 2020.

Selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) dijatuhkan secara tidak demokratik melalui ‘Langkah Sheraton’ itu, pimpinan PH mendesak mandat dikembalikan semula kepada rakyat.

Namun, Azmin antara pengkhianat PH yang menolak permintaan itu, kerana beliau menganggap bahawa ‘Langkah Sheraton’ dibuat mengikut Perlembagaan.

Apa agaknya dalam kepala pimpinan Bersatu ketika ini, ketika ratusan ribu penduduk sedang bergelut dengan bencana banjir.

Related Posts

Golongan muda wakili 60 peratus permohonan baharu ahli UMNO

JOHOR BAHRU – Kira-kira 60 peratus atau 6,009 daripada lebih 10,000 permohonan menyertai UMNO sebagai ahli baharu menerusi inisiatif Rumah Bangsa terdiri daripada golongan muda, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO,…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Pendapatan RM14.2 bilion bukti Sarawak makin makmur di bawah GPS – Dr Sim

KUCHING – Sarawak membuktikan keberkesanan pentadbirannya di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) apabila berjaya mencatatkan lonjakan pendapatan luar biasa sehingga mencecah RM14.2 bilion. Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Seraheng Kakan buka tirai Pesta Kaul, tarik kehadiran pelawat

Seraheng Kakan buka tirai Pesta Kaul, tarik kehadiran pelawat

Regatta Betong 2026: Sukan warisan kembali selepas 16 tahun menyepi

Regatta Betong 2026: Sukan warisan kembali selepas 16 tahun menyepi

Sarawak cadang perluas JMU, tingkatkan penyertaan pelajar luar bandar ke IPT

Sarawak cadang perluas JMU, tingkatkan penyertaan pelajar luar bandar ke IPT

Miri diperkasa sebagai hab ekonomi utama, pacu pengangkutan pintar

Miri diperkasa sebagai hab ekonomi utama, pacu pengangkutan pintar

Sarawak tekankan pembangunan Miri, ekonomi baharu dan pendidikan masa depan

Sarawak tekankan pembangunan Miri, ekonomi baharu dan pendidikan masa depan

‎APM Sabah diperkukuh, tingkat kesiapsiagaan operasi di Kota Kinabalu ‎

‎APM Sabah diperkukuh, tingkat kesiapsiagaan operasi di Kota Kinabalu ‎