KERAJAAN sudah mengagihkan dana banjir sebanyak RM1,000 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas di seluruh negara bermula semalam.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, bayaran itu akan disalurkan kepada setiap KIR yang memenuhi syarat ditetapkan.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana berharap pengagihan bantuan itu, terutama bantuan tunai dapat diagihkan segera.
“Untuk bantuan daripada Kerajaan Pusat selain daripada bantuan bagi operasi penyelamatan, kita sudah mempunyai senarai mangsa banjir dipindahkan di pusat pemindahan sementara (PPS).
“Bermula dari semalam kita sudah mengagihkan bantuan RM1,000 untuk setiap KIR dan ini kita akan lakukan secara berfasa.
“Kita tidak mahu ada dalam kalangan KIR yang berpindah ke PPS dan mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Nadma (Agensi Pengurusan Bencana Negara) yang tidak mendapat bantuan.
“Bagi seluruh negara, kita sudah peruntukan jumlah secukupnya… kalau sekiranya jumlah keluarga melebihi, maka Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) selaku Menteri Kewangan akan tambah peruntukan itu,” katanya lagi ketika ditemui selepas melawat dan menyantuni mangsa banjir di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Matang dan Sekolah Kebangsaan Nibong dekat Kuala Berang, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, kerajaan sudah memulakan pembinaan 14 pusat pemindahan kekal di setiap negeri.
Katanya, pihaknya juga mendapat permohonan daripada pemimpin tempatan di Hulu Terengganu yang memohon pembinaan pusat pemindahan kekal dan ia akan dipertimbangkan untuk fasa kedua.
Ditanya sama ada kerajaan Pusat akan melancarkan Dana Kecemasan berikutan jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS di seluruh negara sudah melebihi 137,000, Ahmad Zahid berkata, amat mustahil kerajaan Pusat menyalurkan bantuan kepada semua yang terjejas.
Katanya, kerajaan Pusat dan kerajaan negeri akan bekerjasama mengusahakan perkara itu bagi mengadakan dana kecemasan membantu mangsa banjir.
“Kita juga minta kerajaan negeri mengusahakan bantuan dan juga bagi mengadakan dana kecemasan itu.
“Tentunya kerjasama di antara kerajaan Pusat dan negeri sangat baik setakat ini harus ditingkatkan,” katanya.






