KUALA KANGSAR – Sebuah bilik stor dan bilik pendidikan seni di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Muda Musa di sini musnah dalam kebakaran sekitar jam 11.28 pagi Jumaat, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, kebakaran melibatkan bangunan dua tingkat jenis kelas A, yang menempatkan bilik stor peralatan elektrik sebelum merebak ke bilik pendidikan seni.
“Kebakaran memusnahkan kira-kira 40 peratus daripada keseluruhan bangunan. Ia berlaku di tingkat satu bangunan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.
Tambahnya, seramai 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar serta Sungai Siput dikerah ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.
Operasi pemadaman berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 11.52 pagi dan kerja-kerja overhaul sedang giat dijalankan bagi memastikan tiada sisa api yang boleh mencetuskan kebakaran semula.






