
KOTA KINABALU – Bangunan stor Farmasi Hospital Papar hangus terbakar manakala bilik makmal kajian hanya terkena bahangan api dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam pada Isnin.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, PPgB Rozlan Osman seramai 14 pegawai dan anggota bersama jentera, Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi yang terletak sejauh empat kilometer sebaik menerima panggilan.
Katanya, operasi turut dibantu anggota BBP Kimanis.
“Kebakaran melibatkan dua buah bangunan iaitu sebuah stor perubatan Farmasi jenis kekal yang berkeluasan 50×25 kaki terbakar 100 peratus.
“Sebuah bangunan bilik makmal kajian hanya terkena bahangan.
“Pasukan Khas Bomba Hazmat juga telah membuat pemeriksaan di lokasi kebakaran dan tiada sebarang keberbayaan yang melibatkan bahan kimia, radioaktif dan gas beracun,” katanya di sini pada Selasa.
Menurutnya, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden ini.
Setelah memastikan tiada bahaya lain wujud operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 11:20 malam.




