PASANG BESAR – Hasrat kerajaan mewujudkan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 dilihat mampu memberi kesan positif kepada ekonomi penduduk setempat.
Mengimbau kembali kenangan sekitar dua dekad lalu, penduduk yang pernah berjiran dengan Kem PLKN Tasoh di sini, Mohd. Shazwan Shahimi, 35, berkata, memori itu masih segar dalam ingatannya.
“Ketika itu, suasana di kawasan perkampungan ini yang biasanya sunyi bertukar meriah dengan kehadiran ratusan pelatih PLKN yang datang dari seluruh negara.
“Saya masih ingat, sebuah kedai runcit yang kini telah berpindah sentiasa laris jualannya kerana ia satu-satunya kedai yang ada paling hampir dengan kem itu.
“Selain itu, penduduk kampung juga sempat merasa dan menerima tempias ekonomi PLKN apabila mereka berpeluang membuka gerai menjual makanan atau minuman buat tenaga kerja program ini,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Tambah pengusaha kebun harumanis itu lagi, hujung minggu adalah antara hari-hari gembira buat peniaga kerana ada saudara-mara atau rakan-rakan mengunjungi pelatih di kawasan tersebut.
Menurut Mohd. Shazwan, beliau percaya usaha kerajaan yang akan mewujudkan semula PLKN di kem-kem Askar Wataniah tahun hadapan bakal memberi impak ekonomi yang baik kepada penduduk setempat.
Sementara itu, bekas pekerja dewan makan kem PLKN Tasoh dan Tasik Meranti, Nor Shuhada Shahimi berkata, hubungan jurulatih dan guru-guru yang pernah mengajar di kem tersebut terus berkekalan.
“Hubungan silaturahim khususnya guru-guru kenegaraan kem PLKN Tasoh dengan kami yang tinggal di kampung ini masih berkekalan sehingga hari ini walaupun kem itu telah ditutup.
“Ada antara tenaga pengajar yang datang bercuti di Perlis akan singgah melihat tapak kem yang kini kosong sebelum singgah dan bertanya khabar kepada kami,” ujarnya.
Kem PLKN Tasoh pada waktu itu dipenuhi antara 300 hingga 400 pelatih setiap kali siri pengambilan dilakukan Kementerian Pertahanan.




