GOPENG – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersedia bekerjasama dengan mana-mana ahli parlimen untuk menyahut usaha kerajaan membudayakan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan rakyat, khususnya golongan muda.
Menteri MOSTI, Chah Lih Kang berkata, pihaknya telah menyediakan pelbagai inisiatif sebagai usaha untuk menarik rakyat melibatkan diri dalam pembangunan STEM.
Ia termasuk Minggu Sains Negara, Techlympic, STEM Camp serta terkini program melibatkan 100 saintis ke 100 sekolah dalam masa 100 hari atau Sains, Teknologi dan Inovasi 100 kuasa tiga (STI 100³).
Malah, ujarnya, penglibatan dalam pembangunan STEM akan memenuhi usaha kerajaan menarik pelaburan daripada syarikat-syarikat teknologi gergasi dunia selain merupakan solusi kepada isu sejagat seperti berkaitan dengan perubahan iklim, keselamatan makanan dan sebagainya.
“Apabila pelabur masuk ke negara kita, sudah pasti mereka memerlukan tenaga kerja untuk mengisi kekosongan jawatan. Hal ini penting kepada perkembangan ekonomi dan negara.
“Selain itu, masalah global misalnya perubahan iklim dan keselamatan makanan, ia sebahagian besar memerlukan jalan penyelesaian melalui kaedah teknologi. Disebabkan itu penting bagi kita memperkasakan bidang STEM,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Gopeng Tech Play di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Perak dekat sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teja, Sandrea Ng Shy Ching, ADUN Simpang Pulai, Wong Chai Yi serta Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing.
Seramai 15 pempamer yang terdiri daripada agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), sekolah, serta syarikat pemula bidang STEM telah memeriahkan lagi program tersebut.
Justeru itu, Lih Kang meminta agar lebih banyak pihak dapat menganjurkan program dan aktiviti yang mampu memberi pendedahan kepada masyarakat terhadap STEM sebagai persediaan menghadapi peralihan ke Revolusi Industri 4.0.
“Pada tahun hadapan kita akan teruskan pada fasa kedua. MOSTI juga akan memperkenalkan satu lagi inisiatif baharu untuk kita giatkan lagi pengenalan STEM di semua kawasan parlimen,”katanya.
Tambah beliau, usaha itu juga dilihat mampu memberi peluang luas kepada usahawan teknologi tempatan bagi memanfaatkan teknologi yang ada dalam negara tanpa perlu bergantung pada sumber luar.




