
KOTA KINABALU – Permohonan penggantungan pelaksanaan perintah mahkamah (stay of execution) berkaitan tuntutan 40 peratus pemberian khas kepada Sabah tidak menjejaskan hak negeri itu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, sebaliknya bertujuan memberi ruang kepada proses rundingan dan penelitian teknikal yang lebih menyeluruh antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Mustapha Sakmud berkata, isu tuntutan pemberian khas 40 peratus di bawah Perlembagaan Persekutuan Malaysia melalui Perkara 112C dan 112D terus diberi perhatian kerana ia menyentuh hak perlembagaan Sabah.
“Perkembangan terkini itu susulan keputusan Keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengenai tuntutan 40 peratus Sabah 2025 pada 17 Oktober 2025 yang menjadi titik penting dalam perbincangan berkaitan hak kewangan negeri tersebut.
“Pada 14 November 2025, Peguam Negara telah memfailkan Notis Rayuan terhadap sebahagian keputusan Mahkamah Tinggi tersebut. Selaras dengan itu, Kerajaan Persekutuan turut memfailkan permohonan penggantungan pelaksanaan sebahagian perintah mahkamah di Mahkamah Rayuan sementara menunggu keputusan rayuan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Santai dan Sungkai Media Sabah Bersama YB Mustapha Sakmud, di sini pada Sabtu.
Menurut Mustapha, permohonan penggantungan itu bukan bertujuan menafikan tuntutan Sabah, sebaliknya bagi memastikan rundingan dan penelitian berkaitan pengiraan hasil bersih Persekutuan daripada negeri tersebut dapat dilakukan secara terperinci.
“Sejak November 2025, beberapa siri mesyuarat telah diadakan melalui Jawatankuasa Rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah di peringkat pegawai bagi meneliti kaedah teknikal pengiraan hasil serta pengesahan data berkaitan.
“Dalam proses itu, Kerajaan Persekutuan telah berkongsi data hasil bersih yang diperoleh daripada Sabah bagi tempoh 2007 hingga 2025.
“Bagaimanapun, usaha masih dijalankan untuk melengkapkan data bagi tempoh terdahulu yang dikenali sebagai ‘The Lost Years’, memandangkan sebahagian besar rekod berkenaan direkodkan secara manual dan memerlukan penelitian lanjut,” ujarnya.
“Perbincangan juga sedang berlangsung bagi menentukan kaedah pengiraan yang dipersetujui bersama berdasarkan formula 40 peratus daripada hasil bersih Persekutuan yang diperoleh dari Sabah.
“Permohonan penggantungan itu penting bagi memastikan rundingan yang sedang berjalan dapat diteruskan secara teratur serta memberi ruang kepada kedua-dua pihak mencapai penyelesaian yang adil dan menyeluruh untuk Sabah,” jelasnya.
Mustapha berkata tempoh 180 hari berkaitan pelaksanaan perintah mahkamah itu dijangka tamat pada 15 April 2026, manakala tarikh pendengaran rayuan masih belum ditetapkan.
“Tanpa penggantungan tersebut, kedua-dua pihak berdepan risiko prosiding pengkomitan (contempt of court) walaupun proses rayuan masih belum didengar.
“Permohonan stay of execution itu dijadualkan untuk didengar di Mahkamah Rayuan Malaysia pada 31 Mac 2026,” tegasnya.
Dalam pada itu, katanya pendirian Kerajaan Sabah serta Sabah Law Society (SLS) yang memilih untuk membantah permohonan berkenaan perlu dihormati sebagai sebahagian daripada proses demokrasi dan sistem semak imbang dalam negara.
“Matlamat semua pihak adalah sama, iaitu memastikan hak Sabah yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan terus dipelihara dan dilaksanakan secara adil,” katanya.



