
SANDAKAN – Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) belum menetapkan tarikh pelaksanaan caj parkir di bandar ini walaupun orang ramai sedia maklum bahawa sistem tersebut akan diperkenalkan tidak lama lagi.
Presiden MPS, Walter Kenson berkata, pihaknya mahu memastikan semua persediaan termasuk penyampaian maklumat kepada masyarakat dilakukan secara teratur sebelum pelaksanaan dimulakan.
“Buat masa ini tempoh pelaksanaan masih belum diputuskan kerana pihak majlis mahu memastikan segala aspek berkaitan disediakan dengan rapi agar tidak menimbulkan masalah kepada orang ramai.
“Cadangan mengenakan caj parkir itu adalah antara usaha MPS untuk mengenal pasti sumber hasil baharu bagi majlis, di samping terus memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
“Selain menyediakan perkhidmatan kepada masyarakat, majlis juga perlu mengenal pasti beberapa sumber yang boleh menjana hasil dan salah satu aspek yang boleh diterokai ialah caj parkir,” katanya ketika di temui media pada Majlis Iftar Ramadan MPS Bersama Rakan Media Sandakan, di Sabah Hotel, di sini, pada Sabtu.

Dalam pada itu, Walter memaklumkan pihaknya sedang mempertimbangkan sama ada sistem parkir akan menggunakan kupon atau beralih sepenuhnya kepada sistem digital.
“Pemakluman rasmi akan dibuat dalam masa terdekat.
“Buat masa ini kita bercadang memberi pilihan kepada masyarakat sama ada menggunakan kupon atau digital.
“Kita memang akan beralih kepada digital pada satu masa nanti, tetapi buat masa ini kita masih membenarkan penggunaan kupon kerana ada pihak yang belum selesa menggunakan sistem digital,” jelasnya.
Mengulas mengenai cadangan menaikkan status Sandakan kepada bandaraya, Walter berkata, perkara itu belum menjadi keutamaan buat masa ini.
Sebaliknya, beliau menegaskan MPS lebih menumpukan usaha meningkatkan dan memperbaiki sistem perkhidmatan kepada masyarakat terlebih dahulu.
Menurutnya, apabila masyarakat dapat merasai peningkatan perkhidmatan yang disediakan, ia sekali gus mampu meningkatkan keyakinan pelabur dan peniaga terhadap suasana pelaburan di Sandakan.
“Keadaan semasa menunjukkan sebahagian pelabur dan peniaga masih bersikap skeptikal terhadap suasana pelaburan di daerah itu, justeru menjadi tanggungjawab MPS untuk meningkatkan keyakinan mereka.
“Buat masa ini kita belum memikirkan untuk menaikkan status kepada bandar raya kerana keutamaan kita adalah memperbaiki sistem dan meningkatkan mutu perkhidmatan kepada masyarakat terlebih dahulu,” ujarnya.



