ALOR SETAR – Seorang Ahli Parlimen ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah pada Khamis bagi tujuan pertuduhan berkaitan usahasama ternakan lembu milik kerajaan negeri.
Menurut sumber, penahanan itu susulan siasatan yang dijalankan sejak Februari lalu, melibatkan dakwaan penerimaan kira-kira RM400,000 sebagai balasan membantu mendapatkan hak penggunaan tanah bagi projek fidlot tersebut.
“Kertas siasatan telah dibuka susulan aduan yang diterima pada 10 Februari 2025.
“Siasatan berkaitan kes ini telah dijalankan dan melibatkan seramai 15 orang saksi yang telah dirakam percakapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi turut mengesahkan tangkapan berkenaan
Beliau berkata, Ahli Parlimen terbabit telah dirakam percakapan di bawah Seksyen 53(3) Akta SPRM 2009 sebelum dibebaskan dengan jaminan.




