KOTA KINABALU – Kerajaan MADANI sentiasa komited dan serius dalam menangani isu rasuah secara menyeluruh tanpa mengira kedudukan mahupun latar belakang politik, kata Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Datuk Ts Mustapha Sakmud.
Beliau berkata, tindakan terkini oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuktikan ketegasan kerajaan dalam memastikan integriti pentadbiran terus terpelihara.
“Kita menyokong tindakan yang dibuat oleh pihak SPRM.
“Kita mahu bertegas sebab banyak suara yang mengatakan kerajaan tidak serius menangani isu ini, bahkan ada juga pihak yang mahu menganjurkan perhimpunan kerana beranggapan kita tidak bertindak.
“Kita buktikan bahawa SPRM sudah ambil tindakan dan sekurang-kurangnya dua ADUN akan dipanggil untuk siasatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Penutupan Nutrition Month Malaysia (NMM) 2025 anjuran Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada Khamis.
Tambah Mustapha, langkah itu amat penting bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kesungguhan kerajaan memerangi rasuah, khususnya di Sabah.
Beliau turut menjelaskan bahawa gejala rasuah bukan hanya membabitkan satu parti, sebaliknya merentasi pelbagai pihak.
“Sebenarnya rasuah ini merentasi parti. Jadi ini proses biasa.
“Parti-parti lain pun ada yang terlibat, ada yang kena ‘charge’, ada yang sudah dalam mahkamah. Tapi itu sebenarnya kita tidak boleh jadikan asas untuk menolak sebarang kerjasama,” katanya.
Mengulas kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam PRN17 nanti, Mustapha berkata, fokus harus diberi kepada usaha bersama membanteras rasuah secara tuntas.
“Yang pentingnya kita kena faham, apabila kita wujudkan kerjasama politik, ia bukan sekadar berkongsi kuasa tetapi juga mesti ada aspirasi bersama untuk menangani gejala rasuah di negeri Sabah.
“Kalau tidak, kita tidak akan dapat membuat perubahan yang terbaik,” ujarnya.




