KUALA TERENGGANU – Seorang anggota polis direman enam hari selepas disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM25,000 bagi tidak mengambil tindakan terhadap kes dadah.
Perintah reman sehingga 25 Mei itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar, Yuhanis Mohd Roslan selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, di sini, hari ini.
Menurut sumber, lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira jam 3 petang ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Terengganu semalam.
“Suspek dipercayai meminta dan menerima rasuah secara tunai serta melalui transaksi ke akaun bank milik sendiri dan isterinya.
“Dia disyaki menerima suapan bagi tidak mengambil tindakan terhadap seorang individu mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985,” katanya.
Jelasnya, kegiatan itu dipercayai berlaku pada Oktober 2020.
Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan penahanan suspek.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.




