KOTA KINABALU – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki memaklumkan bahawa pihaknya masih menunggu hasil analisis forensik terhadap 10 video yang dikaitkan dengan dakwaan rasuah melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah.
“Video-video yang baharu ini sedang dianalisis oleh pasukan forensik, namun laporan rasmi masih belum dikeluarkan.
“Saya telah mengarahkan agar laporan tersebut disiapkan secepat mungkin.
“Berbeza dengan sebelum ini, video yang diterima kali ini lebih panjang dan perlu dianalisis satu per satu bagi mengenal pasti sama ada terdapat unsur penyuntingan, gangguan bingkai (frame break), manipulasi audio dan lain-lain bentuk pengubahsuaian,” katanya dalam sidang media selepas Program Cakna Rasuah di sini, pada Khamis.
Menurutnya lagi, siasatan sedang diteruskan dan beliau telah mengarahkan pegawainya memanggil semula semua individu terlibat, termasuk Albert Tei.
“Albert akan dipanggil semula untuk mengemukakan beberapa dokumen yang diperlukan sebagai sebahagian daripada siasatan.
“Kami juga memanggil semua lapan ADUN untuk memberi penjelasan, walaupun belum ada pengesahan muktamad daripada bahagian forensik.
“Namun demikian, terus terang saya nyatakan semua video berkenaan dimainkan di depan mereka untuk memperjelaskan dan memberi penjelasan apa yang sebenar berlaku.
“Sebab itu saya menggesa semua, jangan kita awal-awal membuat konklusi dalam kes ini,” jelasnya.
Beliau juga menyambut saranan beberapa pihak, termasuk peguam, yang mahu kandungan video itu disiasat lebih teliti.
“Kita siasatlah sama ada wang yang diberikan merupakan wang rasuah atau sebaliknya.
“Mungkin berlaku transaksi, mungkin tidak — itu semua tertakluk kepada hasil siasatan.
“Kami perlu tahu sama ada wang tersebut adalah rasuah, sumbangan atau dalam bentuk lain. Ini adalah persoalan penting yang perlu diperjelaskan dalam kenyataan kepada SPRM.
“Setakat ini, semua kenyataan telah diambil kecuali daripada Albert Tei, yang masih diperlukan bagi mendapatkan penjelasan lanjut,” katanya.





