
KENINGAU – Hari pertama Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi kertas Bahasa Melayu di Sabah berjalan lancar dengan kesiapsiagaan penuh pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah, meskipun beberapa negeri lain berdepan cabaran banjir, kata Menteri Pendidikan Malaysia (KPM), Fadhlina Sidek.
Fadhlina berkata, seramai lebih kurang 413,000 pelajar di seluruh negara menduduki peperiksaan SPM yang bermula hari ini dengan kertas Bahasa Melayu.
Beliau turut mengakui terdapat sedikit cabaran di beberapa negeri disebabkan banjir, namun memaklumkan bahawa semua persiapan berjalan dengan baik hasil kesiapsiagaan agensi-agensi terlibat.
“Untuk Sabah, saya ucap terima kasih kepada JPN, PPD dan sekolah khususnya yang telah memastikan persiapan walaupun ada kemungkinan-kemungkinan hujan lebat, banjir dan sebagainya.
“Persiapan itu telah pun kita laksanakan dengan lebih awal untuk menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya semasa sidang media selepas meninjau hari pertama peperiksaan bertulis SPM tahun 2025 di SMK Keningau, di sini pada Selasa.

“Alhamdulillah, kita doakan semoga perjalanan SPM, khususnya di Negeri Sabah ini diuruskan dengan baik, berjalan dengan baik, persiapan dan kehadiran anak-anak kita juga menjadi keutamaan bagi memastikan SPM ini berjalan dengan lancar,” katanya.
Beliau turut menyampaikan ucapan selamat maju jaya kepada semua calon SPM di seluruh negara.
“Semoga kejayaan mengiringi anak-anak semua dan pastikan segala persiapan itu berjalan dengan baik dan kita di peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia akan terus menyokong dan mendukung dan memastikan semua persiapan anak-anak.
“Persiapan itu termasuk menghadapi baik cuaca mahupun bencana banjir, anak-anak akan tetap meneruskan peperiksaan seperti mana yang telah diatur dan disusun,” katanya.
Sementara itu, beliau mengulas mengenai jelajah kempen bersama calon PH yang turut berjalan dengan lancar.
“Alhamdulillah, semua berjalan dengan lancar kempen kita dan juga sokongan-sokongan selepas kita melancarkan manifesto khusus untuk Pakatan Harapan dan pastinya juga kita mahukan kemenangan dan saya menyeru kepada semua pengundi untuk melaksanakan tanggungjawab mereka pada hari Sabtu ini.
“Kita melihat bahawa isu-isu yang dibangkitkan itu sebahagian besarnya telah pun menjadi komitmen besar, sama ada di kempen mahupun komitmen kita di peringkat kerajaan,” katanya.
Fadhlina turut mengucapkan selamat mengundi kepada semua pengundi yang terlibat dalam proses undi awal, sambil menekankan kepentingan memilih pemimpin yang benar-benar membawa makna kepada rakyat Sabah.
“Pastikan bahawa undi itu benar-benar undi yang akan memberi makna khususnya untuk rakyat Sabah dan juga pastinya undi yang akan memastikan bahawa apa yang kita perjuangkan apa yang kita melakukan perubahan di Sabah ini bersama dengan kita,” katanya.
Pada masa sama, Fadhlina sempat meluangkan masa bersama pelajar Tingkatan Enam untuk mendengar masalah dan luahan para pelajar terutama berkaitan dengan infrastruktur dan kemudahan di sekolah tersebut.



