SEBERANG PERAI – Seorang lelaki warga asing didenda RM12,000 oleh Mahkamah Sesyen Butterworth di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menyembunyikan 350 unit minyak masak peket tanpa permit, Rabu lalu.
Tabibar Rahman, 56, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nor Azah Kasran. Dia turut berdepan hukuman penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda terbabit.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki barang kawalan berjadual iaitu 350 unit minyak masak peket satu kilogram yang berada di dalam premis yang terletak di Mukim 12, Kampung Sekolah Juru, Bukit Mertajam, kira-kira pukul 2.40 petang, 6 Ogos lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Hakim juga memerintahkan minyak masak peket yang dirampas itu dilucut hak kepada kerajaan.





