
KUCHING – Sarawak terus memperkukuh peranannya dalam landskap kewartawanan negara apabila diumumkan sebagai tuan rumah bagi Persidangan Media Sarawak (SMeC) 2025 bersempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) Peringkat Sarawak yang akan berlangsung dari 2 hingga 3 Julai ini di Hotel Sheraton, Kuching.
Persidangan bertemakan ‘Artificial Intelligence (AI): Shaping the Future of Media and Journalism’ dijangka menghimpunkan lebih 600 pengamal media dan pemikir komunikasi dari dalam dan luar negara.
Antara tokoh yang akan tampil ialah Shelly Bryant (Singapura/AS), Steve Saerang (Indonesia), Soh Wan Wei (Singapura), Datuk Suhaimi Sulaiman, Dr. Jun-E Tan dan Prof. Dr. Patrick dari Pusat AI Sarawak.
Menurut kenyataan rasmi, penganjuran ini menjadi platform penting mengukuhkan jaringan antara kerajaan, industri media dengan pihak berkepentingan selain menekankan kepentingan etika, profesionalisme dan penyesuaian terhadap transformasi digital dalam dunia kewartawanan.
Beberapa agensi turut mengambil bahagian dalam pameran sepanjang persidangan seperti UKAS, AZAM Sarawak, SAIC, TEGAS, CENTEXS, UNIMAS dan Affin Bank.
Majlis makan malam sempena persidangan akan berlangsung pada 2 Julai di Hotel Riverside Majestic dan dijangka dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Seramai 700 tetamu dijangka hadir dengan persembahan istimewa oleh Kinate Dance Studio, teater ‘Kampung Sik Berasa’ serta artis tempatan seperti Karen Libau dan Roxy Ixzy.
Antara kemuncak majlis ialah penyampaian Anugerah Apresiasi Khas Premier Sarawak kepada 10 tokoh media merangkumi kategori Editor, Wartawan, Pembaca Berita, DJ Radio, Jurugambar dan Tokoh Khas. Setiap penerima akan menerima plak, sijil dan cek bernilai RM3,000 sebagai tanda penghargaan.
Sementara itu, Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) turut menganjurkan Karnival Sukan Media Sarawak (KASUMeS) buat julung kali di tiga zon iaitu Sibu, Miri dan Kuching dengan mempertandingkan acara seperti pickleball, dart, futsal dan badminton.
Kerajaan Sarawak berharap penganjuran ini mampu memperkukuh peranan media dalam menjayakan agenda pembangunan negeri yang inklusif, makmur dan berteraskan integriti.
FOTO: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)






