KUANTAN – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan menganjurkan Seminar Kebangsaan Teknologi Makmal Ke-16 (SKETMA16) awal minggu lalu.
Seminar itu berjaya menarik penyertaan dari semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan dirasmikan Pengarah UIAM Kampus Kuantan, Prof Dato’ Dr Ahmad Hafiz Zulkifly.
Antara IPTA yang menyertai seminar itu adalah Universiti Malaya, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Teknologi MARA serta Universiti Malaysia Sabah.
Pengarah program SKETMA16, Maliza Azrain Sham Mohd Azmi berkata, UIAM Kampus Kuantan sangat bertuah kerana diberi peluang menjadi tuan rumah seminar dwi-tahunan itu.
“Untuk SKETMA16, kita memilih tema ‘Integrasi Sains dan Teknologi Berlandaskan Maqasid Al-Shariah’.
“Tema ini bersesuaian dengan cabaran semasa, seiring dengan aspirasi untuk memperkasakan bidang sains dan teknologi.
![]()
“Sememangnya bidang ini (sains dan teknologi) bukan sekadar keperluan duniawi, tetapi turut berperanan menjadi wadah memartabatkan ilmu… selaras tuntutan agama,” jelasnya.
Sepanjang tiga hari SKETMA16 berlangsung, pelbagai aktiviti diadakan antaranya pembentangan lisan, pembentangan poster, perkongsian ucaptama daripada ahli panel berpengalaman.
Turut diadakan sesi perbincangan bersama Gabungan Persatuan Kakitangan Makmal Malaysia yang diketuai Pengerusinya, Abdul Latip Dris.
Selain berseminar dalam kawasan UIAM Kampus Kuantan, peserta turut dibawa menikmati keindahan bandar raya Kuantan dengan mengunjungi menara Kuantan 188, Tanjung Lumpur dan Teluk Cempedak.
Penganjuran SKETMA16 juga diharapkan dapat membina sinergi dan kerjasama rapat antara peserta, serta hubungan akrab antara IPTA yang terlibat.




