KUANTAN – Sokongan secara kolektif dan berterusan oleh semua pihak memainkan peranan penting dalam memastikan pelajar dapat mencapai potensi optimum mereka.
Perkara itu menjadi faktor penting dalam memastikan hubungan rapat antara warga sekolah, ibu bapa dan masyarakat setempat dapat disuburkan, kata Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Datuk Razihan Adzharuddin.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Gohillians 24/25 di Dewan Seri Perdana Sekolah Kebangsaan (SK) LKTP Bukit Goh, dekat sini.
![]()
Razihan turut berkongsi rasa bangga MBK atas kejayaan cemerlang sekolah itu, terutamanya dalam pertandingan robotik antarabangsa di Singapura, tahun lalu.
“Adalah menjadi harapan saya dan juga semua warga sekolah serta ibu bapa pelajar untuk menyaksikan lebih banyak kejayaan diperoleh SK (LKTP) Bukit Goh pada tahun ini… dan tahun seterusnya,” katanya.
Pada majlis sama, pihak SK (LKTP) Bukit Goh turut menyampaikan sijil penghargaan kepada rakan strategik mereka.
![]()
Antaranya Majlis Belia FELDA Wilayah Kuantan diwakili pengerusinya, Nasrul Naim Alias; Kuantan 188 diwakili Abdul Jamil Mohamed (Ketua Pembangunan Perniagaaan Kuantan 188); Pengurus FELDA Bukit Goh, Raduan Rozali.
Turut menerima sijil penghargaan adalah Pengerusi Kami Anak FELDA (KAF) Bukit Goh, Datin Siti Khadijah Zakaria; wakil YTL Pahang Cement, Hapsah Dahdi; wakil Farm Fresh Cawangan Gambang, Roslinda Dahili dan Pengerusi Koperasi dan Pertubuhan Peneroka FELDA Bukit Goh, Mat Zahari Derahman.






