
SANDAKAN – Sebanyak 61 Kenyataan Pemeriksaan Premis (KPP) dikeluarkan kepada premis yang diperiksa dalam operasi harian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sandakan di sini pada Selasa.
Menurut KPDN Sabah menerusi hantaran di Facebook, operasi yang dijalankan bertujuan memastikan pematuhan undang-undang di bawah KPDN serta pengawalan harga barangan yang ditetapkan oleh kerajaan.
“Sepasukan tiga Pegawai Penguat kuasa yang terdiri daripada 11 anggota diketuai oleh Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDN Cawangan Sandakan, Azdy Zukkry John terlibat dalam pemeriksaan pada hari tersebut.
“Hasil pemeriksaan mendapati kebanyakan peniaga mematuhi peraturan yang ditetapkan.
“Walau bagaimanapun, satu kes telah diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 apabila peniaga terbabit gagal mempamerkan tanda harga pada barangan yang dijual di premis mereka,” kata kenyataan tersebut.
Tambah KPDN Sandakan, pemeriksaan tersebut juga mendapati bekalan barangan kawalan seperti gula, minyak masak bersubsidi dan telur ayam berada dalam keadaan mencukupi sekali gus menjamin kestabilan pasaran di kawasan berkenaan.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang aduan atau pertanyaan boleh dibuat secara terus melalui e-aduan.kpdn.gov.my atau menghubungi KPDN Sandakan di talian 0896668107 atau WhatsApp ke 019-8488000 (Aduan Pengguna).







