
MUAR – Sekumpulan sindiket yang menjalankan kegiatan penipuan judi dalam talian berjaya diberkas polis, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, enam suspek termasuk dua wanita berusian lingkungan 20-an itu ditahan dalam sebuah kediaman di taman perumahan di daerah ini.
“Kegiatan ini berjaya dihidu hasil risikan dan operasi dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Johor.
“Siasatan awal polis mendapati mereka menjalankan aktiviti penipuan perjudian dalam talian dengan mempromosikan kepada pelanggan.
“Selepas promosi dilakukan, sindiket terbabit akan menipu sebaik bayaran dibuat oleh mereka,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Tambah beliau, semakan mendapati sindiket dipercayai telah beroperasi sejak pertengahan tahun ini.
“Dalam serbuan itu, polis turut merampas beberapa peralatan antaranya komputer, telefon bimbit serta maklumat akaun bank yang disyaki digunakan dalam aktiviti terbabit.
“Selain itu, siasatan lanjut mendapati dua daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan perjudian,” katanya.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan serta Seksyen 4(1)(G) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.





