
PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat berhubung jumlah sekolah yang bakal dibenarkan melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), menjelang penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN yang akan berlangsung pada 26 dan 27 Mei ini.
Menurut Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil, inisiatif ini bertujuan untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas dan memudahkan pergerakan sepanjang acara antarabangsa itu berlangsung di ibu negara.
Dalam pada itu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah mengedarkan satu pekeliling minggu lalu bagi membolehkan kakitangan awam di kawasan tertentu menjalankan tugasan dari rumah.
“JPA telah mengeluarkan pekeliling bagi memberi kelonggaran kepada penjawat awam di lokasi yang terlibat supaya boleh bekerja dari rumah,” kata Fahmi ketika sidang media pasca mesyuarat Kabinet di Putrajaya pada Rabu.
Beliau turut menyarankan agar pihak swasta mempertimbangkan pendekatan yang sama, terutamanya bagi syarikat yang beroperasi di sekitar pusat bandar Kuala Lumpur.
“Pihak swasta digalakkan untuk menilai keperluan ini supaya pekerja yang berada di kawasan terjejas dapat dibenarkan bekerja dari rumah,” katanya.
Fahmi turut memaklumkan bahawa pihak kerajaan menerima maklumat berhubung peningkatan sebanyak 50 peratus penggunaan pengangkutan awam sewaktu lawatan rasmi Presiden China, Xi Jinping, baru-baru ini.
Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat agar turut menggunakan kemudahan pengangkutan awam semasa Sidang Kemuncak ASEAN bagi melancarkan pergerakan dan operasi di ibu kota.
“Saya menyeru orang ramai agar menggunakan pengangkutan awam, khususnya pada hari-hari utama sidang tersebut berlangsung,” tambahnya.



