
SIBU– Landskap ekonomi Sibu terus berkembang seiring kemunculan semakin banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang dipacu kreativiti serta penggunaan teknologi baharu.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata penganjuran The Big Deal Expo 2026 membuktikan keupayaan bandar itu menghimpunkan pelbagai pemain industri termasuk perniagaan digital, industri kreatif, keusahawanan belia dan perdagangan rentas sempadan dalam satu platform bersepadu.
“Ekspo berkenaan bukan sekadar berfungsi sebagai ruang transaksi komersial malah menjadi medium penting untuk pertukaran idea, pembinaan jaringan strategik serta pengujian konsep perniagaan baharu dalam kalangan usahawan tempatan”.
“Kekuatan sebenar Sibu terletak pada masyarakatnya yang cekal, berinisiatif dan semakin berani meneroka pendekatan baharu dalam perniagaan termasuk memanfaatkan teknologi digital bagi menyesuaikan diri dengan perubahan ekonomi global,” katanya ketika merasmikan The Big Deal Expo 2026 di Stadium Tertutup Sibu pada Ahad.
Tambahnya, penyertaan lebih 60 syarikat tempatan dalam ekspo itu membuka peluang kepada jenama dan perniagaan baharu untuk menilai potensi pasaran, memperkenalkan produk inovatif serta membina keyakinan dalam kalangan pengguna setempat.
Secara keseluruhan, penganjuran The Big Deal Expo 2026 mencerminkan aspirasi baharu Sibu untuk muncul sebagai hab perniagaan yang lebih dinamik, inovatif dan kompetitif di peringkat serantau.







