
MIRI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri menahan sebuah kapal kargo asing kerana didapati gagal mematuhi peraturan perkapalan dalam satu operasi di perairan Miri pada Ahad.
Pengarah Zon Maritim Miri, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, penahanan tersebut dilakukan oleh bot peronda Maritim Malaysia sekitar 11.32 pagi pada kedudukan kira-kira 3.8 batu nautika barat laut Kuala Baram.
Menurutnya, kapal berkenaan dikesan ketika pihaknya sedang melaksanakan operasi OP PERMAI 01/19, OP TIRIS 3.0 dan OP PELANTAR MERAH 3/2023.
“Hasil pemeriksaan mendapati, kapal kargo berkenaan telah melakukan beberapa kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952.
“Antara kesalahan yang dikesan adalah gagal mengemukakan dokumen pendaftaran kapal, lesen perkapalan dalam negeri yang telah tamat tempoh serta peralatan keselamatan berupa rakit keselamatan yang telah melepasi tempoh,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut turut mendapati kapal tersebut dikendalikan oleh sembilan kru yang terdiri daripada lapan warga Bangladesh dan seorang warga China.
Susulan itu, kesemua kru kapal asing itu telah ditahan dan diiringi ke kawasan bersauh perairan Miri pada 2 petang untuk siasatan lanjut.
Dalam pada itu, Mohd Khairol menegaskan bahawa Maritim Malaysia akan terus mempergiat rondaan dan penguatkuasaan bagi mengekang pelanggaran undang-undang di perairan negara.
“Setiap kapal yang beroperasi di perairan Malaysia wajib mematuhi peraturan yang ditetapkan. Kegagalan berbuat demikian bukan sahaja membahayakan keselamatan pelayaran, malah boleh mengancam keselamatan perairan negara,” jelasnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di laut diminta menyalurkannya kepada Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Miri di talian 085-649111 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544) serta talian kecemasan MERS 999.




