
SIBU bakal melakar sejarah apabila dipilih menjadi lokasi penganjuran Sidang Kemuncak Orang Pekak Malaysia Pertama 2025 yang dijadual berlangsung dari 26 hingga 28 September ini di Hotel Kingwood, di sini.
Program anjuran Persatuan Perkhidmatan Komuniti Pekak Sarawak (SDCSA) dengan sokongan Pertubuhan Advokasi dan Kesejahteraan Pekak Nasional (DAWN) itu mengetengahkan tema ‘Masa Depan Inklusif: Memperkasa Akses dan Kesaksamaan untuk Komuniti Pekak’.
Sidang kemuncak berkenaan dijangka menjadi platform penting untuk membincangkan isu utama berkaitan komuniti pekak seperti akses pendidikan inklusif, penjagaan kesihatan, kefahaman undang-undang dan keperluan perkhidmatan jurubahasa isyarat.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak. Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, program itu akan menghimpunkan peserta dari pelbagai latar belakang termasuk komuniti pekak, penyelidik, pendidik dan peguam bela.
“Kita menyasarkan penyertaan seramai 300 hingga 400 peserta, dan beberapa pembentangan kertas kerja akan berlangsung sepanjang dua hari acara ini,” katanya pada sidang media di Hotel Kingwood pada Khamis.
Antara topik yang bakal dibentangkan ialah penciptaan peluang pekerjaan untuk orang pekak, pengiktirafan hak bahasa isyarat, serta pengukuhan komuniti pekak di Indonesia dan Filipina.
Turut diadakan ialah sesi khas berkaitan Perkhidmatan Pentafsiran Bahasa Isyarat di Thailand yang menyentuh peranan, cabaran dan pembangunan jurubahasa pekak dan pendengaran.
Menurut beliau, sidang kemuncak itu juga menjadi ruang untuk merangka penyelesaian praktikal bagi memperkukuh sistem sokongan kepada komuniti pekak.
“Ini adalah peluang penting untuk kita mengenal pasti kekangan serta mencari jalan untuk memperkasa golongan ini agar mereka lebih maju dan setara dalam masyarakat,” ujarnya.
Antara isu utama yang akan diberi perhatian ialah akses kepada maklumat undang-undang, yang sering menjadi cabaran utama kepada komuniti pekak dalam memahami dan menggunakan hak mereka di bawah perundangan negara.
Sementara itu, Razi turut memaklumkan tentang pelaksanaan inisiatif SEDIDIK yang memperkenalkan Pembelajaran Bahasa Isyarat Malaysia kepada kanak-kanak sebagai usaha meningkatkan keterangkuman sejak usia awal.
Beliau menambah, kementeriannya menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) telah menyalurkan bantuan bulanan kepada 14,675 orang kurang upaya, dengan 3,445 daripadanya kini berjaya bekerja dalam pelbagai sektor.
Sidang kemuncak ini diharap mampu mencetuskan perubahan besar ke arah mewujudkan masyarakat lebih inklusif dan adil kepada komuniti pekak, selaras dengan sokongan berterusan daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) serta agensi kerajaan lain.