
PENYERANG bola sepak kebangsaan Faisal Halim kecewa susulan perkembangan kes serangan asid pada Mei tahun lalu.
Peguam Nik Zarith Nik Moustpha berkata, bintang Selangor FC itu akan berbincang untuk menentukan langkah seterus yang wajar diambil.
Terdahulu, Nik Zarith memaklumkan, siasatan serangan asid ke atas Faisal Halim diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Jelasnya, perkara itu dimaklumkan kepada pihaknya menerusi satu surat bertarikh 18 Februari 2025 daripada pihak Jabatan Peguam Negara (AGC).
“Kami membuat kenyataan sebagai peguam yang mewakili anak guam kami, Faisal Halim berhubung kes serangan simbahan asid terhadap beliau pada Mei 2024.
“Surat diterima itu menyatakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak dapat mengesan sebarang petunjuk yang dapat mengaitkan kes ini dengan mana-mana individu sebagai suspek.
“Segala usaha yang telah dijalankan bagi tujuan tersebut tidak membuahkan hasil,” katanya pada sidang media hari ini.
Nik Zarith berkata, sepanjang tempoh siasatan kes ini, pihaknya mengambil beberapa langkah proaktif bagi memastikan kes ini diberikan perhatian yang sewajarnya.
“Ini termasuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pegawai penyiasat untuk membantu mereka membuat siasatan menyeluruh berkenaan dengan kes ini,” katanya.
Berita Faisal mengalami serangan asid oleh dua lelaki di sebuah kompleks beli-belah di Kota Damansara telah menggemparkan negara.
Faisal mengalami cedera parah dan terpaksa menjalani pelbagai rawatan pembedahan sekali gus berehat panjang pada tahun lepas.