
TAWAU – Parti Warisan Sabah menyatakan kesiapsiagaan mereka dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang dengan menekankan memilih pemimpin yang berintegriti serta menolak kemungkaran.
Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, dalam memilih pemimpin, rakyat tidak seharusnya dipengaruhi oleh bangsa, warna kulit atau jumlah wang yang ditawarkan, sebaliknya perlu menilai amalan dan keperibadian seseorang calon.
“Dalam apa juga pilihan raya sama ada di peringkat negeri mahupun Parlimen, rakyat yang mempunyai hak mengundi perlu membuat pertimbangan sebaiknya.
“Yang penting bagi kita adalah diperingatkan kita selaku umat manusia bahawa kita boleh berpadu dan boleh bersatu, itu tidak menjadi masalah.
“Namun dalam ajaran Islam, kemungkaran atau perkara tidak baik seperti rasuah, ketirisan dan amalan tidak baik itu jangan sekali-kali dilakukan kerana boleh merosakkan generasi yang akan datang,” katanya kepada media selepas program berbuka puasa bersama penduduk kampung di Masjid Al-Muhajirin Inderasabah, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Shafie berkata, persediaan juga sedang dilakukan termasuk bagi kawasan Parlimen Tawau dan Kalabakan dengan parti itu berada dalam keadaan siap sedia.
“InsyaAllah. Kita siap siaga. Bukan setakat calonnya. Memang sudah ada dan kita akan siap siaga untuk PRU ini,” jelasnya.
Mengenai cadangan bertanding di semua kerusi Parlimen di Sabah, Shafie berkata, perkara itu akan dinilai dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Kita tengok dulu. Kita lihat bagaimana nanti. Saya akan menilai. Kita tidak boleh bertanding kerana bertanding saja. Kita kena menang,” katanya.






