
MUKAH – Seorang nelayan tempatan ditahan selepas dipercayai memiliki dadah dalam satu serbuan di tangga sebuah premis perniagaan di Jalan Setiaraja pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, suspek berusia 38 tahun itu ditahan kira-kira jam 8.30 malam hasil risikan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah.
Menurutnya, serbuan di lokasi berkenaan dilakukan selepas suspek disyaki terlibat secara aktif dalam aktiviti penyalahgunaan bahan terlarang tersebut.
“Pemeriksaan tubuh ke atas suspek membawa kepada penemuan satu keratan tiub straw lut sinar mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine atau syabu.
“Anggaran berat kasar dadah yang dirampas adalah kira-kira 0.46 gram,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Mengulas lanjut, Muhamad Rizal berkata, ujian saringan awal air kencing turut mendapati lelaki terbabit positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Tambah beliau, semakan polis mendapati suspek mempunyai dua rekod kesalahan lampau yang juga berkaitan dengan kes dadah.
“Suspek bersama barang rampasan telah dibawa ke IPD Mukah untuk tindakan lanjut dan kini direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 19 Mac bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya.





