IPOH – Seorang wanita warga emas ditemukan rentung manakala seorang lelaki dipercayai suami mangsa cedera dalam kebakaran di sebuah rumah dua tingkat di Jalan Raja Abdullah, Kampung Sungai Rapat Tambahan, di sini malam tadi.
Difahamkan rumah tersebut milik keluarga mentua Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Perkara tersebut disahkan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon, yang turut terbabit dalam operasi menyelamat.
Dalam kejadian itu, ibu mentua Hamzah, Salmiah Nyakk Matt, 84, maut manakala bapa mentuanya, Datuk Abdul Ghani Ngah, 83, mengalami sesak nafas.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata, kebakaran berlaku pada jam 9.19 malam.
“Siasatan awal polis bersama Unit Forensik JBPM Perak mengesahkan kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat yang didiami enam ahli keluarga.
“Seorang wanita berusia 84 tahun ditemukan meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lelaki berusia 83 tahun telah berjaya diselamatkan dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan lanjut.
“Manakala empat ahli keluarga yang lain berusia antara 18 hingga 49 tahun turut berjaya diselamatkan dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan lewat malam Khamis.
Tambahnya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kebakaran dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR).
Abang Zainal Abidin juga meminta orang ramai yang melihat kejadian ini untuk tampil dan menyalurkan maklumat dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ipoh di talian 05-254 2222.






