
KIMANIS – Seorang lelaki maut manakala seorang lagi mengalami kecederaan selepas van dinaiki mereka terbabas sebelum jatuh ke dalam gaung di Batu 23, Jalan Keningau-Kimanis di sini pada pagi Rabu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Mohd Johainin Ruslan berkata mangsa berumur 32 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi dalam kejadian pukul 6.50 pagi.
Menurutnya, mangsa yang maut dikenali sebagai Lee Jia Hun sementara itu mangsa yang cedera dikenali sebagai Mikewelson Davis Balasius, 23.
Jelas Johainin, sepasukan tujuh anggota bomba digerakkan ke lokasi sejauh 28 kilometer bersama jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.55 pagi.
“Semasa ketibaan pihak bomba di lokasi, kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis van yang tebabas sendiri dan terjatuh di gaung sedalam 20 kaki dari jalan raya.
“Terdapat dua orang mangsa tersepit berjaya dikeluarkan pasukan bomba menggunakan peralatan khas ‘Rescue Tools’.
“Seorang lagi mangsa cedera berumur 23 tahun diberi rawatan awal oleh EMRS dan diserahkan kepada ambulans untuk dihantar ke Hospital Papar bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Manakala kata beliau, mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.



