
KINABATANGAN – Seorang lelaki maut manakala 11 lagi cedera parah selepas sebuah van jenis Foton View bertembung dengan sebuah van ambulans di Jalan Paris 2, di sini pada Isnin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Hairi Otuh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 10.25 pagi.
“Seramai lima anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi yang terletak kira-kira 30 kilometer dari balai.
“Setibanya di lokasi pada pukul 11 pagi, didapati kemalangan membabitkan dua kenderaan dengan seramai 12 mangsa terlibat iaitu lapan dari van Foton View dan empat dari van ambulans.

“Seorang mangsa dalam van ambulans disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan, manakala 11 lagi mengalami kecederaan parah.
“Maklumat mangsa masih belum diperoleh,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau berkata, operasi menyelamat turut dibantu oleh 12 anggota Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan empat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurutnya, operasi tamat sepenuhnya pada 11.50 pagi selepas semua mangsa berjaya dikeluarkan dan lokasi disahkan selamat.








