
KERAJAAN menetapkan semua aliran pendidikan termasuk sekolah antarabangsa, sekolah agama dan sekolah dalam aliran Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) wajib mengambil subjek Bahasa Melayu serta Sejarah dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai syarat asas penyelarasan sistem pendidikan negara.
Menerusi langkah itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kontroversi berkaitan kedudukan Bahasa Melayu dapat dileraikan, sekali gus isu syarat kemasukan ke Universiti Awam (UA) tidak lagi berbangkit selepas ini.
“Saya jelaskan keperluan bahasa dan menuntut supaya semua sistem pendidikan dalam negara kita menetapkan dan mewajibkan Bahasa Melayu mengikut kurikulum Kementerian, termasuk sehingga SPM (Sijil Pelajaran Malaysia).
“Sama ada di sekolah antarabangsa, ramai anak-anak Malaysia yang di sekolah antarabangsa, tanpa kecuali diwajibkan mengambil ujian Bahasa Melayu SPM dan juga Sejarah Malaysia.
“Di sekolah agama rakyat dan Maahad Tahfiz yang mencecah lebih 400,000 pelajar, juga diwajibkan mengambil Bahasa Melayu dan Sejarah Malaysia. Ini terpakai juga tentang kontroversi kecil soal UEC biarpun keadaan sudah berubah,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta beberapa menteri Kabinet lain.
Menurut Anwar, pelaksanaan dasar itu akan membuka laluan yang lebih jelas kepada semua pelajar daripada pelbagai sistem pendidikan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat pendidikan tinggi tanpa polemik berpanjangan.
Sehubungan itu, beliau berkata, jalur kemasukan ke institusi pengajian tinggi daripada sekolah antarabangsa, sekolah agama rakyat atau UEC tidak lagi menjadi isu perdebatan.
“Kita terima baik asalkan syarat ini diterima. Saya fikir majoriti besar rakyat dari semua kaum, semua daerah setuju dan cuba melaksanakan, termasuk dalam semua sistem pendidikan negara kita,” katanya.
Perdana Menteri turut menegaskan bahawa penyelarasan tersebut penting bagi memastikan semua pelajar Malaysia memiliki asas jati diri, kefahaman sejarah dan penguasaan bahasa kebangsaan, selari dengan hasrat membina negara yang bersatu serta berdaya saing.
Katanya, kerajaan tidak berniat menekan mana-mana aliran pendidikan, sebaliknya mahu memastikan kesaksamaan peluang dan kejelasan dasar dalam sistem pendidikan negara.







