KUANTAN – Hubungan rapat antara komuniti menjadi tonggak utama kepada semangat kebersamaan dan seterusnya membawa kepada keharmonian di lokaliti itu.
Melalui persefahaman terbentuk juga, menyaksikan segala program dan aktiviti dijalankan mencapai objektif disasarkan.
Keakraban antara komuniti dapat dilihat pada penganjuran program Hasrat MADANI Parlimen Indera Mahkota anjuran Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) Pahang, dekat sini, hari ini.
![]()
Pemilihan kawasan Indera Mahkota Timur itu juga dibuat hasil persetujuan dan kerjasama baik daripada pimpinan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) berkenaan.
Program itu dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Chan Chun Kuang dan turut dihadiri Pengarah Operasi Negeri JKOM Pahang, Muhayudin Salleh.
Menerusi program itu, Chun Kuang dan penduduk bersama pegawai lapangan JKOM Pahang bergotong-royong membersihkan kawasan taman perumahan itu.
Gotong-royong yang bermula jam 8 pagi itu juga disertai golongan wanita dan warga emas di taman berkenaan.
![]()
Terdahulu, Chun Kuang ketika berucap merasmikan program itu berkata, semangat ditunjukkan penduduk di Taman Indera Mahkota Timur adalah sangat dipuji dan perlu dijadikan contoh.
“Semua pihak daripada golongan muda dan berusia, ada juga kanak-kanak di bangku sekolah sudi bersama-sama kita pagi ini.
“Ia menunjukkan bahawa kawasan ini memiliki hubungan kekeluargaan yang rapat dan saling bantu-membantu.
“Saya harap hubungan rapat ini dikekalkan dan dipertahankan demi keharmonian masyarakat di sini,” katanya.
![]()
Beliau turut sama bergotong-royong bersama penduduk sehingga program berakhir kira-kira jam 1 petang.
Program Hasrat MADANI adalah antara inisiatif JKOM untuk mendekati komuniti bagi menyampaikan maklumat tepat berkaitan pelbagai kemudahan disediakan kerajaan untuk mereka.
Melalui penganjuran program itu juga, masyarakat dapat berkongsi pandangan mereka mengenai perkara yang perlu dilakukan kerajaan bagi meningkatkan lagi kualiti hidup mereka.




