
PULAU PINANG – Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, Mohd Hilmi Elias berkata UMNO memberi perhatian serius terhadap semua isu yang berkaitan dengan Felda, terutama golongan generasi kedua dan ketiga.
Rentetan penubuhan Sekretariat Pemuda Felda yang merangkumi 54 parlimen di seluruh Malaysia dan Pemuda UMNO bersedia memainkan peranan lebih agresif dalam memastikan masalah-masalah terutamanya di dalam kawasan Felda ini diatasi dengan tuntas.
“Jawatankuasa Suara Pemuda UMNO di semua Felda yang diluluskan di PAU menunjukkan persidangan itu bukan sekadar tempat ahli-ahli UMNO seluruh negara untuk datang beramai-ramai tetapi ada fungsinya,” katanya kepada The Malaysia Press di sini.
Menurut Helmi, pasukan itu ditubuhkan sebagai bukti UMNO benar-benar mengambil berat tentang anak-anak Felda dan ia akan digerakkan di semua cawangan Pemuda UMNO yang ada di Felda di seluruh negara.
“Pemuda UMNO tidak mahu dilihat sekadar bercakap tanpa mempunyai bukti, dan ini akan dibuat penilaian sama ada wakil rakyat kawasan mereka dari kalangan Pemuda ini berfungsi atau tidak di kawasan masing-masing,” tegas beliau.






