
KOTA KINABALU – Agenda Koridor Pembangunan Sabah (SDC) di bawah seliaan Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) pelengkap strategik pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, agenda tersebut turut menyokong aspirasi pembangunan negara di bawah kerangka Malaysia MADANI.
”Kerajaan Negeri melalui SEDIA komited untuk memastikan agenda pembangunan dilaksanakan secara seimbang dan inklusif merentas seluruh Sabah.
“Ini dapat dilihat di bawah kerangka SDC di mana beberapa kajian strategik telah disiapkan bagi menyokong perancangan pembangunan wilayah yang lebih seimbang dan bersasar.
“Antaranya, Kajian Pelan Induk Ekonomi dan Pelan Perniagaan bagi POIC Sandakan; Kajian Pelan Induk dan Pelan Perniagaan bagi Zon Ekonomi Bebas, Hab Logistik dan Depoh Penyimpanan Sejuk di POIC Lahad Datu; Kajian Pembangunan Ekonomi Sempadan Sabah dan Kajian Pelan Induk bagi Lembah Makanan di kawasan pedalaman Sabah,” katanya pada majlis Sungkai Kurung-Kurung Ketua Menteri bersama Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan di Menara Kinabalu, di sini pada Selasa.
Jelas Hajiji, kesemua dapatan kajian itu menyediakan asas perancangan yang lebih kukuh untuk memacu pertumbuhan ekonomi wilayah secara inklusif dan mampan.
”Dalam memastikan agenda pembangunan seimbang terus dipacu secara konsisten, SEDIA kekal relevan sebagai agensi pemudah cara dan penyelaras strategik untuk mempercepatkan pembangunan ekonomi negeri.
“Keupayaan SEDIA turut diperkukuh melalui tadbir urus kewangan yang berintegriti, sebagaimana dibuktikan dengan penganugerahan Sijil Bersih Tanpa Teguran bagi penyata kewangan selama 16 tahun berturut-turut sejak 2009 hingga 2024.
”Pendekatan pembangunan berteraskan rakyat dan pelaksanaan projek infrastruktur berorientasikan ‘people-centric’ terus diperkukuh bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai secara inklusif dan seimbang di seluruh negeri,” ujarnya.
Menurut Hajiji, secara kumulatif, sebanyak 1,126 projek kecil telah dilaksanakan sebagai intervensi bersasar bagi meningkatkan keterangkuman sosioekonomi, memperbaiki akses kepada kemudahan asas, serta merapatkan jurang pembangunan antara wilayah dan komuniti setempat, terutamanya di luar bandar.
Dalam majlis yang sama, Hajiji turut menyampaikan Sumbangan Kasih Ramadan kepada 16 pusat tahfiz dan pengajian Islam yang berdaftar.






