
GUA MUSANG – Parti Sedar Rakyat (SEDAR) mengangkat ‘bendera putih’ apabila mengambil keputusan menarik diri daripada bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri 17 Ogos depan.
Keputusan itu dibuat beberapa minit sebelum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tempoh waktu bakal calon bertanding menyerahkan borang pencalonan.
Presidennya, Othman Abdillah berkata, pihaknya membuat keputusan untuk tidak bertanding selepas menyedari peluang untuk menang PRK tersebut tipis memandangkan jentera Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) terlalu kuat.
“Kita putuskan tarik diri tidak bertanding selepas melihat kekuatan penyokong PN dan BN.
“Kita sedar kalau kita masuk bertanding pun peluang kita nak menang tipis.
“Awalnya calon kita sudah siap sedia untuk bertanding dan calon kita anak tempatan Nengggiri.
“Walaupun kita tak bertanding kali ini, pilihan raya akan datang, kita tetap akan masuk (bertanding),”katanya.
Terdahulu Othman tiba bersama beberapa penyokongnya di perkarangan Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang sekitar jam 8 pagi.
Beliau bagaimanapun tidak memasuki dewan tempat penyerahan borang sebelum dilihat beredar dari kawasan itu.
Sebelum ini SEDAR berkata, pihaknya akan bertanding PRK Nenggiri, jika kerusi berkenaan hanya ditandingi oleh PN dan BN sahaja.
