KETEGASAN Majlis Amanah Rakyat (MARA) dalam mengutip semula bayaran balik pinjaman bukan bertujuan menghukum, sebaliknya bagi memastikan kesinambungan bantuan kepada lebih ramai usahawan serta pelajar Bumiputera pada masa akan datang.
Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan, setiap sen yang dikutip semula akan digunakan semula untuk membantu anak bangsa yang memerlukan.
Menurut beliau, pembayaran balik pinjaman merupakan satu amanah dan tanggungjawab moral yang tidak boleh dipandang ringan oleh mana-mana peminjam MARA.
“Ada terima mesej personal kenapa saya keras sangat kepada penghutang MARA, tiga bulan tak bayar dapat notis, kata nak tolong Melayu.
“Maaf ya! Sebab nak tolong Melayulah hutang wajib dibayar. Ramai lagi anak bangsa perlu dibantu,” katanya ringkas menerusi hantaran di Facebook.
Sebelum ini, Asyraf Wajdi berkata, peminjam MARA disarankan supaya tidak melepaskan peluang menikmati pengurangan bayaran balik pinjaman pelajaran.
Jelasnya, dasar pengurangan bayaran balik pinjaman pelajaran itu telah dipersetujui dan diluluskan oleh majlis itu.
Asyraf Wajdi menegaskan, permohonan boleh dikemukakan melalui portal e-conversion atau emel kepada penguranganbkk@mara.gov.my.
Pada masa sama, jelasnya, orang ramai juga boleh menghubungi careline Bahagian Kawalan Kredit MARA untuk maklumat lanjut 03-40108800/8801/8802.



