
KOTA KINABALU – Sabah Credit Corporation (SCC) menyalurkan sumbangan berjumlah RM519,920 kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Api Api bagi tujuan pembinaan struktur bumbung dewan perhimpunan, selain turut menyumbangkan peralatan perubatan berupa ‘Kamera Fundus’ bernilai RM392,000 kepada Diabetes Malaysia Cawangan Negeri Sabah.
Ketua Pegawai Eksekutif SCC, George Taitim Tulas berkata, sumbangan ini merupakan sebahagian daripada program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang dilaksanakan sempena Hari Bertemu Pelanggan berikutan Program Ekspedisi Jelajah Bersama Anda, bersempena Sambutan Ulang Tahun ke-70 SCC.
“Dalam semangat memberi semula kepada masyarakat, program CSR turut kami laksanakan sempena Hari Bertemu Pelanggan ini.
“Kami mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan sumbangan kepada sekolah-sekolah memerlukan, menaja program komuniti setempat dan membiayai inisiatif-inisiatif perniagaan kecil yang dapat membantu meningkatkan taraf ekonomi rakyat Sabah.
“Semua ini mencerminkan komitmen PPS terhadap pembangunan masyarakat sejajar dengan nilai dan misi kami,” katanya ketika berucap sempena Majlis Perasmian Hari Bertemu Pelanggan SCC dan Rumah Terbuka Hari Raya UTC Sabah Tahun 2025, di sini pada Selasa.

Antara pengisian majlis termasuk cabutan tiket bertuah, persembahan nyanyian, jamuan Aidilfitri, ruang photobooth dan pameran pendaftaran YONO, iaitu aplikasi e-wallet milik PPS yang dibangunkan untuk kegunaan masyarakat Sabah.
George berkata SCC melancarkan Program Ekspedisi Jelajah Bersama Anda ke seluruh Sabah sempena sambutan ulang tahun ini.
“Program ini merangkumi ekspedisi ke-13 Pusat Pelanggan Daerah dan tujuh Pusat Perkhidmatan Pelanggan di seluruh Sabah. Antara aktiviti utama dalam siri jelajah ini ialah Hari Bertemu Pelanggan, seperti yang diadakan pada hari ini.
“Hari Bertemu Pelanggan menjadi ruang untuk kami menghargai pelanggan, di samping menjadi platform memperkukuhkan hubungan dengan pelanggan, pemegang taruh dan komuniti.
“Kami percaya acara ini memberi impak positif secara menyeluruh,” jelasnya.
Beliau turut menambah, PPS sedang giat memperkenalkan inisiatif masa depan yang akan menjadi tumpuan agensi itu, termasuk penggunaan teknologi terkini, penambahbaikan sistem perkhidmatan pelanggan serta pendekatan yang lebih inklusif dan mampan dalam menyediakan pembiayaan dan sokongan kewangan.
Dalam pada itu, George turut menjelaskan mengenai peranan PPS dalam menyediakan kemudahan pinjaman kepada usahawan di Sabah, termasuk kadar faedah rendah bagi pembangunan usahawan wanita muda.
“Pinjaman usahawan yang kami tawarkan disediakan dengan kadar faedah paling rendah, contohnya seperti pembangunan usahawan wanita muda yang sedang kami laksanakan ketika ini.
“Mana-mana wanita muda di bawah umur 45 tahun boleh berkunjung ke PPS untuk mendapatkan kemudahan pinjaman ini, lengkap dengan pelbagai sokongan lain,” katanya.




