DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Jabatan Imigresen, menjalankan operasi penguatkuasaan bersepadu ke atas penjaja warga asing yang beroperasi tanpa lesen di sekitar ibu negara.
Operasi pada Isnin tertumpu di kawasan premis perniagaan di Lorong Haji Taib 4, Chow Kit dan Jalan Berangan di Bukit Bintang.
Menerusi satu kenyataan DBKL memaklumkan, tindakan ini dibuat selepas pemantauan dan risikan dijalankan oleh pegawai penguat kuasa di kawasan itu bagi mengenal pasti pelanggaran peraturan yang dilakukan.
“Sebanyak 15 kes sitaan dilaksanakan serta-merta hasil daripada operasi dijalankan di bawah UUK Perlesenan Penjaja (WPKL) 2016.
“Sebanyak 13 tindakan dilaksanakan ke atas warga asing dan dua lagi tindakan membabitkan penjaja warga negara.
“DBKL juga turut mengeluarkan dua notis tawaran kompaun ke atas premis yang menggajikan warga asing di bawah UUK Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Selain itu, katanya, Jabatan Imigresen turut menahan 41 warga asing terdiri daripada 30 lelaki dan 11 wanita untuk dokumentasi lanjut dan rekod di Ibu Pejabat Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL).
“Semua barangan yang dikenakan tindakan sita telah dibawa ke Setor Sitaan Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras, Kuala Lumpur untuk tindakan rekod dan dokumentasi,” katanya.
DBKL berkata, pihaknya akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari masa ke semasa di lokasi tumpuan yang dikenal pasti.
“Sebarang aduan, orang awam boleh berhubung atau menyalurkan maklumat melalui pautan https://adukl.dbkl.gov.my/,” katanya.







